Rabu, 10 September 2008

Bidai buluh nyahbunyi bising

Anggun Spa bersatu dengan alam semula jadi.
PASTI melegakan apabila berendam di dalam kolam renang hidroterapi ala jakuzi ini.


MENGUNJUNGI spa di tengah kota raya seringkali menjadi impian mereka yang ingin membelai tubuh. Bayangkan suasana nyaman diiringi bauan aroma terapi sambil diurut oleh pakar setelah penat bekerja seharian. Asyik bukan?

Justeru, kunjungan ke Anggun Spa, Hotel Maya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pasti hangat kerana ia bersatu dengan dekorasi menawan.

Melangkah masuk ke ruang legar pusat rawatan kecantikan ini di aras tiga, pengunjung akan disambut oleh kolam renang hidroterapi.

Dikelilingi konsep nusantara tropika, pemilihan buluh dan ranting kayu bagi menggantikan konkrit simen, keredupan di ruang ini menjadi amat istimewa dengan getaran air dari kolam seolah menjadi ganti deruan air terjun.

Spa berlantaikan kayu papan sebagai kemasan bagi menggantikan marmar secara tidak langsung melembutkan suasana tatkala tubuh dibelai.

Berendam di dalam air yang bersuhu sekitar 38 darjah Celsius sambil pancuran tepat mengenai bahagian leher, bahu dan tubuh cukup memberi kelegaan kepada keletihan yang membelit diri.

Puas berendam dan berenang, berikan pula perhatian pada deretan bilik khas yang dikhususkan bagi tujuan urutan dan spa yang boleh dipilih sama ada berseorangan atau untuk berdua.

Penyediaan bilik ini amat ringkas namun ciri-ciri klasik yang digabungkan bersama elemen Thai dan Bali menyerlahkan fungsi sebenar ruang ini yang asalnya bilik penginapan.


MEMBELAI tubuh di ruang sederhana namun mewah ini pasti memberi ketenangan maksimum.


Dipecahkan kepada tiga bahagian utama iaitu ruang rawatan kaki, urutan badan dan tab mandian, pengunjung tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan lengkap spa di sini.

Di bahagian pertama iaitu rawatan refleksologi kaki dilengkapkan dengan kerusi empuk khas bagi merehatkan pengunjung sebelum beralih ke rawatan seterusnya.

Lebih menarik, peralatan yang digunakan kebanyakannya bersumberkan alam semula jadi seperti mangkuk tanah liat, herba dan paling penting, hiasannya menggunakan bunga harum sundal malam.

Malah penyediaan teh bagi meraikan tetamu turut dihidangkan menggunakan set teh yang diimport khas dari Jepun bagi mengekalkan keaslian daun minuman tersebut.

Jari-jemari pakar urut profesional yang melegakan dengan bantuan pembaringan istimewa daripada tilam khas pasti membuatkan pengunjung terlena.

Lengkapkan rawatan anda dengan berendam di dalam tab mandian susu bersama kelopak bunga mawar.

Suam air rendaman yang diisi di dalamnya seramik ditempah khas dari luar negara memberi kesan positif dalam menghilangkan keletihan tubuh.

Dalam pada itu, lokasi Anggun Spa yang strategik dan mempunyai tempat meletak kereta yang banyak memberi nilai tambahan dalam menarik pengunjung.


BUMBUNG dan dinding buluh memberi persekitaran desa kepada pengunjung.


Walaupun lokasinya terletak di tengah kota raya tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas, hingar-bingar kenderaan tidak langsung menggugat ketenteraman pengunjung.




Nyata, penggunaan bidai buluh yang disulami kain satin berwarna lembut pada tingkap gelangsar berjaya menyahbunyi bising.

Tidak sekadar itu, iringan alunan gemersikan serunai daripada instrumental cakera padat Kitaro membuatkan suasana ruangan ini lebih rileks.

Nikmati haruman bunga sundal malam dan biarkan Anggun Spa membelai tubuh anda bersama dekorasi yang diilhamkan dari alam semula jadi.